Bila kita cuba melihat tokoh-tokoh yang banyak menabur jasa dalam pembangunan Islam di rantau ini, maka tidak syak lagi antara tokohnya yang mesti diambil kira dan diteliti hayat dan ilmu serta pengaruhnya ialah Syaikh Muihammad Arsyad al-Banjari rahimahu’Llah taa’la. Beliau bukan hanya milik Banjar atau Indonesia, bahkan beliau adalah milik Dunia Melayu; namanya dan teksnya, terutama Sabil al-Muhtadin masih menjadi bahan rujukan sampai ke hari ini di Malaysia, Brunei, Selatan Thailand, apa lagi Indonesia, terutama Kalimantan ini, dan bahkan di mana-mana “kitab jawi” dipelajari teksnya akan menjadi bahan pengajian untuk fiqh Syafi’i. Maka nota ini-insya’ Allah akan melihat kembali aspek-aspek hayatnya, pendidikannya serta ide-idenya yang pokok dan penting dalam hubungan dengan da’wah dan pendidikan umat. Penulis ini terhutang budi kepada para penulis hayatnya dan juga para pengumpul bahan yang menyebabkan hasil-hasil penulisan beliau boleh kita dapati sampai sekarang ini.
Riwayat hidup beliau:
Kita boleh bermula berkenaan dengan riwayat hidup beliau dan sejarah pendidikan serta jasa-jasanya. (1)
Namanya ialah Syekh Muhammad Arsyad al-Banjari dilahirkan di Lok Gabang, Martapura, pada 15 Safar 1122 Hijrah/19 Mac 1710 dan meninggal di Kalampayan, Astambul, Banjar, Kalimantan Selatan, pada 6 Syawal 1227 H/13 Oktober 1912.
Beliau ternyata “seorang ulama besar yang sangat berpengaruh dan memegang peranan penting dalam sejarah dan perkembangan Islam, khususnya di Kalimantan; ahli dalam bidang fikih atau syariat dan tasawuf …”(2)
Anak tertua dari lima bersaudara ini memulakan pendidikan asas dengan ayahandanya sendiri dan guru-guru setempat, dan sewaktu berumur tujuh tahun sudah boleh membaca Qur’an dengan baik. Kerana tertarik kepada kecerdasannya maka beliau diambil sebagai anak angkat oleh Sultan Banjar waktu itu, Sultan Tahlilullah (1112H/1700M-1158H/1745M) dan ia mendapat pendidikan dari guru-guru di istana. Sewaktu berumur 30 tahun ia dikahwinkan oleh Sultan Banjar dengan seorang wanita bernama Bajut; kemudian dihantar meneruskan pengajian ke Mekah, selama tiga puluh tahun; yang dipelajarinya selain daripada ilmu-ilmu agama termasuk geografi, biologi, matematik, geometri dan astronomi.
Dengan izin seorang gurunya bernama Syaikh ‘Ata’illah bin Ahmad (men. 1161 H/1748 M) beliau mengajar di Masjidilharam dan memberi fatwa-fatwanya. Selepas 30 tahun di Mekah beliau pergi belajar di Madinah selama 5 tahun.
Antara para guru al-Banjari yang terkenal termasuklah: Syaikhul-Islam Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, Syaikh Muhammad bin ‘Abdul-Karim as-Samman al-Madani (ini guru Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani), al-Damanhuri, dan Ibrahim ar-Rais az-Zamzami, dari yang terakhir ini beliau mempelajari ilmu falak atau astronomi. Ini menjadikan beliau menonjol di kalangan ulama Melayu-Indonesia.
Sewaktu di sana beliau bertemu dengan ulama terkenal Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani (1116H/1704M-1203H/1788 M), ‘Abdul Wahab Bugis dan Syaikh ‘Abd al-Rahman Masri, masing-masingnya dari Pelembang, Sumatera Selatan, Ujungpandang (Sulawesi Selatan) dan Jakarta. Empat orang ini terkenal sebagai “Empat Serangkai dari Jawa”.
Selepas melawat Kahirah (tidak diberi izin oleh guru untuk belajar di sana), Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari bersama tiga sahabat itu pulang ke Kalimantan pada tahun 1186 H/1773 M. Sebelum itu, Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari berada di Jakarta selama dua bulan, kerana permintaan Syaikh ‘Abdul Rahman Masri; lepas itu baharu kembali ke Martapura, ibu kota Kesultanan Banjar, pada bulan Ramadan 1186H/1773M. Kepulangannya disambut dengan meriah oleh Sultan Tamjidillah (yang menjadi Sultan waktu itu) dan rakyat Banjar; semenjak itu bermulalah usaha pembangunan umat di sana, dengan bantuan Syaikh ‘Abdul Wahab Bugis, yang menjadi menantunya.
Kegiatan Pendidikan dan Dakwahnya:
Dilihat dari kegiatan-kegiatan pendidikan dan dakwahnya, jelas Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari adalah seorang fakih yang mengambil berat tentang syariat Islam dan amalannya. Tetapi perlu dijelkaskan bahawa akidahnya, sebagaimana yang jelas daripada tulisan-tulisannya sendiri adalah akidah Sunni, dan kefahamannya yang dalam tentang tasawwuf pula jelas daripada terjemahannya ke atas kitab Fath ar-Rahman, yang berjudul Risalah Fath al-Rahman bi Syarah Risalah al-Wali al-Ruslan (3) Tentang akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang diberi pembelaan sehabis-habisnya, ini jelas daripada kitabnya Tuhfah ar-Raghibin yang penulis ini gunakan sebagai teks utama dalam persidangan tentang persuratan Nusantara di Brunei tahun lalu. Dalam Fath al-Raghibin (4) beliau membuat kenyataan yang tegas:
“(Hubaya-hubaya) hai saudaraku, yang beriman wajib atasmu beriktikad dengan i’tikad Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah (kerana) iaitulah jalan Nabi Allah dan Sahabat-nya dan segala mereka yang mengikut akan mereka itu dan yang mengikut akan yang mengikut mereka itu hingga hari kiamat, dan wajib atasmu menjauhi sekelian I’tikad bid’ah yang sesat.
Ini akan dibicarakan kemudian, insya’ Allah. Untuk meneruskan pembicaraan tentang sejarahnya, kita boleh perhatikan bagaimana beliau melibatkan diri dalam beberapa kegiatan yang menyentuh soal syariat. Peristiwa-peristiwa itu adalah seperti berikut. (5)
Dalam hubungan dengan kegiatan dakwah dan pendikannya dalam membina umat sarjana memberi penekanan kepada bidang syariat atau fiqh. Antaranya ialah dalam hubungan dengan masalah syara’ yang menyentuh kiblat.
Dicatitkan bahawa bila Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari pulang dari al-haramain dan berada di Jakarta sebelum pulang ke Banjar, beliau membetulkan arah kiblat beberapa masjid di sana, seperti di Jembatan Lima, dan Pekojan Batavia. Ini berlaku bila ada kekecohan sehingga Gobernor Jeneral Belanda memanggil beliau untuk memberi maklumat, dan wakil pemerintah Belanda berpuas hati dengan kiraan matematik al-Banjari, dan memberi hadiah kepada beliau. Maka dibetulkanlah arah kiblat beberapa masjid, seperti Masjid Jembatan Lima, Masjid Luar Batang, dan Masjid Pekojan. (6)
Beliau juga mengambil langkah memperbaharu dan memperkemas pentadbiran mahkamah Syari’at Kesultanan Banjar. Ini berlaku dengan dokongan Sultan Banjar waktu itu, iaitu Sultan Tahmidullah (1167H/1773M-1223H/1808M).
Untuk membantu beliau menjalankan usaha pendidikan dan dakwah, Sultan memberi kepadanya tanah di luar kota kesultanan, di mana dibinakan pusat pengajian, perpustakaan, dan asrama untuk para penuntut. Dengan itu ramailah para penuntut yang datang dari pelbagai pelusuk negeri, dan lahirlah dari institusi itu ulama-ulama yang berjasa besar. Dilaporkan bahawa sampai sekarang tempat tersebut dikenali sebagai “dalam pagar”.
Dalam hubungan dengan perlaksanaan hukum Syar’at, maka kerana mengikut anjuran Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari Kesultanan Banjar mengamalkan bukan sahaja hukum berkenaan dengan kekeluargaan dan muamalah tetapi juga hukum berkenaan dengan jenayah seperti hukuman-hukuman Syariat berkenaan dengan jenayah berat menyentuh zina, mencuri, murtad, dan hukum ta’zir. Dengan itu maka diadakan mahkamah Syara’ untuk membuat keputusan tentang hukuman-hukuman yang diperlukan. Dan untuk memberi pimpinan dalam hal itu diadakan mufti yang mengeluarkan fatwa-fatwa. Syekh Muhammad As’ad diangkat oleh Sultan sebagai mufti pertama dan Abu Zu’ud diangkat sebagai kadhi pertama. Al-Banjari sendiri menjadi penasihat dalam semua bidang demikian.
Dalam hubungan dengan hukum “fara’id” atau pembahagian pesaka, Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari membuat keputusan iaitu bila di Banjar isteri juga berkerja, maka diadakan konsep yang disebut sebagai “berpantangan”, ertinya “timbangan perbandingan yang sama bobotnya dalam pembahagian harta suami-isteri” (7). Bila berlaku kematian maka harta dibahagi dua dahulu sebagai usaha bersama antara suami-isteri (tidak termasuk harta asal milik suami atau isteri masing-masing), kemudian baharulah berlaku pembahagian harta mengikut fara’id. Dengan ini si isteri mendapat dua kali peluangnya, satu daripada pembahagian mula-mula, kemudian pembahagian mengikut fara’id. Kalau di negeri-negeri di Malaysia ini termasuk di bawah apa yang disebut sebagai “harta sepencarian” (8)
Kalau kita hendak sebutkan kepentingan teksnya dalam pendidikan dan dakwah, maka teks fikh yang paling menonjol dalam ibadat tidak syak lagi ialah Sabil al-Muhtadin. (9) Fikh dalam aspek ibadat tidak ada lagi yang boleh menandingi teks ini dari segi mendetail hukumnya serta dengan teguh tempat sandarannya dari segi wacana hukum dalam mazhab Syafi’i. Yang boleh disebut mempunyai kedudukan yang tidak kurang daripadanya ialah kitab Bughyatu’t-Tullab karangan Syaikh Daud al-Fatani rahimahu’Llahu ta’ala.
Dalam teks fikh ini kita tertarik dengan kata-kata Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang menyebut tentang bagaimana fikh harmonis dengan tuntutan fitri manusiawi. Katanya (10):
(Ketahui olehmu) bahawasa(nya) tatkala adalah hukum Syara’ itu ta’aluk ia dengan yang empat perkara, iaitu ibadat dan mu’amalat dan munakahat dan jinayat, maka berlakulah ibadat segala imam Syafi’iah pada menjadikan kitab fikh mereka itu atas empat rubu’ (maka) rubu’ yang pertama kitab al-ibadat (dan) rubu’ yang kedua kitab al-mu’amalat (dan) rubu’ yang ketiga kitab al-munakahat, (dan) rubu’ yang keempat kitab al-jinayat
Tentang “hikmah” keadaan itu demikian ialah seperti berikut, katanya:
(Bermula) hikmat yang demikian itu (pembahagian kitab syara’ kepada empat) kerana bahawasanya Allah taala menjadikan ia akan segala manusia itu empat quwwah (iaitu naluri kekuatan dalam dirinya-pen) (pertama) quwwah nutqiyyah, yakni quwwah idrak dan akal (yakni kemampuan untuk mencapai faham dan ilmu serta kesedaran dengan ada akal dan pengamatan pancaindera-pen) (kedua) quwwah syahwiyyah batniyyah yakni quwwah keinginan perut kepada makan dan minum (ketiga) quwwah syahwiyyah farjiyyah yakni quwwah keinginan farj kepada wati dan barang sebagainya (keempat) quwwah ghadabiyyah quwwah marah yang jadi daripadanya perbantahan dan berbunuh-bunuhan dan dan barang sebagainya (dan adalah) faedah menyuruhkan segala pesuruh kepada segala manusia itu memperbaiki hal mereka itu pada pekerjaan dunia dan akhirat dan tiadalah diperoleh baik hal mereka itu melainkan dengan menyempurnakan segala quwwah mereka itu yang empat perkara. (11)
Katanya lagi dalam memberi penerangan bagaimana “hakikat manusiawi” itu mencapai kepenuhannya dalam kehidupan dilihat dari segi menunaikan tuntutan Syara’, yang memang tuntutan dirinya sendiri pada asalnya. Katanya:
Maka dengan semata-mata kurnia Allah taala bagi mereka itu dijadikanNya yang menyempurnakan quwwah nutqiyyah itu ibadat, dan yang menyempurnakan quwwah syahwiyyah batniyyah itu mu’amalat dan yang menyempurnakan quwwah farjiyyah itu munakahat dan yang menyempurnakan quwwah ghada-biyyah itu jinayat kerana barang yang dibahath daripadanya pada ilmu fokh jika taaluk in dengan menyempurnakan quwwah nutqiyyah maka iaitu ibadat dan jika taaluk dengan menyempurnakan quwwah syahwiyyah batniyyah maka iaitu mu’amalat dan jika taaluk ia dengan menyempurnakan quwwah syahwiyyah farjiyyah maka iaitu munakahat dan jika ta’aluk ia dengan menyempurnakan quwwah ghadabiyyah maka iaitu jinayat. (12)
Katanya lagi memberi sebab tentang susunan dalam penghuraian ilmu fiqh Imam Syafi’I yang menjadi ikutannya:
(Dan) didahulukan oleh segala Imam kita Syafi’iyyah akan rubu’ ibadat kerana mulianya sebab mu’allaknya kepada Allah ta’ala (dan) diiringi oleh mereka itu akan rubu’ ibadat dengan rubu’ mu’amalat kerana hajat segala manusia kepadanya (dan) diiringi oleh mereka itu akan rubu’ mu’amalat dengan rubu’ munakahat kerana terkurang hajat segala manusia kepadanya daripada barang yang dahulunya (dan) diiringi oleh mereka itu akan rubu’ munakahat dengan rubu’ jinayat kerana kurang sedikit wuqu’nya (yakni berlakunya-pen) dengan nisbah dengan barang yang dahulunya (dan) didahulukan oleh mereka-itu pada rubu’ ibadat akan kitab al-solah kemudian maka kitab al-zakat kemudian maka kitab al-saum kemudian maka kitab al-hajj kerana mengamalkan peraturan hadith yang sahih lagi masyhur (“buniyal-Islam ‘ala khamsin” (13).
Kenyataan-kenyataan di atas menunjukkan cakupan faham agama yang dalam dari ulama Nusantara ini; walaupun ia menulis kitab fiqh tetapi apa yang disebalik fikh yang mencakupi kehidupan manusia dan hubungannya dengan fitrah kejadian manusia disedari dengan mendalamnya. Ini bukan fakih sebarang fakih, sebagaimana yang akan kita dapat dalam wacana-wacananya berkanaan dengan masalah akidah dan juga persoalan kerohanian.
Kitab Sabil al-Muhtadin itu merupakan teks standard fikh ibadat yang terlalu unggul sampai sekarang, yang digunakan sebagai rujukan bersekali dengan teks seperti Bughyah al-Tullab karangan Syaikh Daud al-Fatani dan yang lainnya seperti Furu’ al-Masa’il juga oleh Syaikh Daud. Kandungan Sabil al-Muhtadin huraian terperinci tentang ibadat mencakupi soal-soal bersuci, bab najis, wudhu’, mandi wajib, tayammum, haidh dan nifas, juga istihadah, sembahyang, waktunya, qadhanya, syarat-syaratnya, sifat-sifatnya, yang wajib padanya, yang sunatnya, yang membatalkannya, yang makruh padanya. Ini kandungan jilid I (dalam 242 halaman, tanpa daftar isinya) teks yang penting ini, yang menghuraikan masalah ibadat dengan sedemikian terperincinya, yang sukar dicari tandingannya sampai sekarang. Sebagaimana yang dinyatakan yang setanding dengannya ialah kitab Syaikh Daud al-Fatani Bughyah al-Tullab.
Jilid II nya menghuraikan soal-soal sujud sahwi, sujud syukur, sembahyang-sembahyang sunat, sembahyang berjemaah, sembahyang dalam masa musafir, jama’ dan kasarnya, sembahyang Jumua’at, yang wajib padanya dan yang sunatnya, khutbahnya, syarat-syarat rukunnya, sembahyang dalam ketakutan, sembahyang dua hari raya, sembahyang gerhana, sembahyang jenazah, hal zakat, zakat haiwaan, zakat tumbuh-tumbuhan dan biji-bijian, zakat emas perak, zakat galian dan harta purba yang tertanam, zakat perniagaan dan zakat fitrah. Termasuk ke dalamnya perbincangan berkenaan dengan sedekah sunat atau pemberian semata-mata. Kemudian perbincangan berkenaan dengan puasa, yang wajibnya dan yang sunatnya, syarat-syaratnya dan rukun-rukunnya. Kemudian perbincangan berkenaan dengan puasa sunat.
Ini diikuti dengan perbincangan berkenaan dengan I’tikaf, syarat-syarat rukunnya dan perkara-perkara yang membatalkannya. Kemudian pembicaraan yang mendetail berkenaan dengan haji dan umrah, dengan syarat-syarat rukunnya, dan yang membatalkannya. Perkara-perkara yang mendecerakan haji dan umrah dan yang menyempurnakannya satu persatu. Kemudian ini diikuti dengan perbincangan berkenaan dengan ‘akikah, perburuan, dan penyembelihan binatang. Ini diikuti dengan pembicaraan berkenaan dengan apa yang halal dan haram dalam perkara makanan dan minuman. Jilid II terdiri daripada 253 halaman tanpa mengira daftar isi kandungannya.
Inilah teks yang kekal menjadi rujukan sampai sekarang bila fikh dipelajari orang di negeri-negeri di Malaysia juga di Singapura dan di Brunei serta Indonesia dan Selatan Thailand.
Sebagaimana yang beliau sendiri nyatakan pada halaman 3-4 kitab itu, sebab penulisannya dan caranya serta punca-puncanya, adalah seperti berikut:
Menuntut daripada aku pada tahun 1193 tahun daripada Hijrah Nabi, atas yang empunya dia daripada Tuhannya rahmat Allah yang amat lebih dan haluannya yang amat suci (“al-tahiyyah” di terjemahnya “haluan”) seorang raja yang amat besar himahnya lagi yang mempunyai cerdik dan bicara yang sempurna lagi yang suci dhihin (iaitu pemikiran) lagi yang namuak faham ialah yang mempunyai tadbir atas sekelian isi daerah segala negeri Banjar lagi yang berdiri dengan memperbaiki segala pekerjaan agama dan pekerjaan dunia iaitu persandaran kita yang dibesarkan (“persandaran” itu terjemahan bagi “sayyiduna”) dan ikutan kita yang dimuliakan (“ikutan” terjemahan bagi “qudwatuna”) Maulana al-Sultan Tahmidullah ibn al-Sultan TamjiduLlah, mudah-mudahan diampuni Allah Taala kiranya akan dia dengan rahmatNya dan dikekalkanNya kiranya akan kerajaannya dan kerajaan zuriatnya dan sentiasa falak daulat kerajaannya yang tiggi beredar ia pada tempat peredaran zuriatnya dan sentiasa awan kebajikannya dan murahnya menghujani atas sekelian rakyatnya (kemudian disebut tentang sebab kitab itu dikarang-pen) bahawa ku perbuatkan baginya suatu kitab pada menyatakan ilmu fikh atas mazhab Imam Syafi’I radiya’Llahu ‘anhu pada hal dibahasakan ia dengan bahasa Jawi yang ma’ruf bagi sekelian isi negerinya yang dipeliharakan dan bahawa aku ambil akan sekelian mas’alahnya daripada beberapa kitab bagi segala Imam Syafi’iyyah kutub yang muta’akhkhirin seperti “Syarah Minhaj”, bagi Syaikh al-Islam Zakariyya al-Ansari, dan “Mughni…” Syaikh Khatib Syarbini, dan “Tuhfah” Syaikh Ibn Hajar al-Haitami, yang dikeredhai, dan “Nihayah” Syaikh al-Ujamal al-Ramli, dan yang lain daripada segala matan (teks asal - pen) Dan syarah dan hasyiah (syarah atas syarahnya - pen) yang mulia-mulia…” (14)
Di sini jelas pendirian ulama besar ini sangat teratur dan berdisiplin dalam menghuraikan hukum agama. Pendirian yang demikian adalah pendirian Ahlis-Sunnah dari segi hukum fikh; disiplin yang sedemikian cermat dan beradab ini menjadi contoh tauladan bagi generasi yang sekarang nampaknya tidak secermat itu dalam memberi huraian berkenaan dengan hukum agama. Sifat cermatnya dalam menghuraikan hukum agama boleh dilihat bagaimana beliau menyebut tentang hukum wajibya sembahyang, katanya (15):
(Bermula asal) wajib sembahyang dahulu daripada ijma’ beberapa ayat Qur’an seperti firman Allah (ayat…) ertinya ‘dan dirikan olehmu akan sembahyang’, dan beberapa hadith seperti sabda Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam (hadith…) ertinya telah memfardhukan Allah Taala atas umatku pada malam Isra’ lima puluh sembahyang maka sentiasalah aku kembali berulang-ulang kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan ku pohonkan akan Dia meringankan dia hingga DijadikanNya akan dia lima sembahyang di dalam tiap-tiap sehari dan semalam Riwayat Bukhari dan Muslim; dan lagi sabda Nabi…
Di sini kita melihat ketelitian Syaikh ini membicarakan asal usul hukum agama dengan menyebut “sebelum ijma’” ia berdasarkan ayat Qur’an dan Sunnah. Ijma’ diiktirafi beliau sebagai satu daripada punca Syariat dan termasuk ke dalam methodologi faham ilmu Ahlis-Sunnah yang beliau hendak sampaikan kepada umat. Ini dasar yang menyeluruh di Nusantara buat beberapa lamanya, yang menentukan keseragaman faham dan sikstem peristilahan hukum di rantau ini.
Sifat cermat dalam perbincangan masalah fikh Syaikh ini boleh dilihat dalam perbincangannya berkenaan dengan memberi zakat kepada “asnaf”nya, dan kelonggaran yang timbul berkenaan dengannya katanya (16):
Telah terdahulu perkataan bahawasanya wajib memberikan zakat pada segala bagai yang maujud di dalam negeri dan jikala zakat fitrah sekalipun. Maka wajib membahagi fitrah seorang yang segantang kepada sekelian mereka itu maka tiada harus menyimpankan (yakni menghadkan) kepada seorang atau tiga orang, demikianlah kaul yang muktamad, atas mazhab Imam kita Syafi’I radiya’Llahu ‘anhu; maka diketahui daripada yang demikian itu bahawasanya barang yang telah beradat daripada memberikan zakat harta atau zakat fitrah kepada sesorang atau tiga orang, maka iaitu tiada sah, dan tiada memadai akan zakat kerana bersalahan dengan Imam Syafi’I yang empunya mazhab; tetapi jika dikerjakan yang demikian itu dengan taklid kepada mazhab ulama (dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah-pen) yang mengharuskan dia, dan jikalau kemudian daripada amal sekali pun, maka yaitu memadai akan zakat; dan tersebut di dalam Tuhfah bahawasanya telah memilih jemaah daripada ‘ulama akan harus memberikan zakat bagi seorang dan telah melanjutkan setengah mereka itu akan perkataan pada menolong bagi kaul itu hingga menakal Imam al-Ruyani daripada Imam yang tiga dan yang lain daripada mereka itu bahawasanya harus memberikan zakat harta pula kepada tiga orang daripada mustahik (orang yang berhak-pen) serta katanya: yaitulah kaul yang dipilih kerana sukar mengamalkan dengan mazhab kita Syafi’I dan jikalau ada kiranya Imam Syafi’I hidup nescaya difatwakannya akan kita dengan yang demikian itu. Intaha.
Sikap cermat sedemikian menjadikan teks ini sampai sekarangt dihormati dan dijadikan rujukan, selain daripada teks-teks asal dalam Bahasa Arab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan